Call Us Today 013-9117607 yanti25us@gmail.com

Hai semua. Apa khabar? Hari ni Che Yan nak kongsikan hasil nukilan sebuah sajak yang Che Yan tulis sejurus selepas dapat pesanan dalam kumpulan aplikasi whatapps info sekolah. Ada surat tentang penganjuran pertandingan e-deklamasi sajak untuk kalangan warga pendidik.

Kebetulan masa tu masa senggang. Che yan sedang bertenang-tenang sementara menunggu untuk masuk ke kelas yang berikutnya. Spontan jari menari pada aplikasi notes dalam telefon maka terhasillah cetusan rasa ini.

Entah masuk bertanding entahkan tidak yang penting coretan ini telah tercetus dari hati. Khas buat warga guru berjiwa pendidik.

NADI KASIH KERAMAT

Saat kobar semangat membuak
Pandemik datang meranap jiwa

Saat langkah baru mahu di orak
Wabak datang lumpuhkan segala gerak

Namun, janji aku junjung
Amanah tetap aku agung
Saat bicaraku hanya pada skrin tak bersuara
Saat bicaraku yang ulang dengar aku sahaja
Saat pesanan bertulis dan pesanan suara hanya berbalas tanda biru semata
Aku masih aku
Menggenggam tekad wacana perguruan.

Sesekali ada mata memandang sinis
Sesekali ada tutur yang mengguris
Sesekali ada yang pertikai berkat imbuhku
Tidak kurang yang mencemuh
Apa lagi mengungkap entengnya tugas guru saat pandemik ketularan.

Ahhh. Biar saja apa mereka kata
Tekad ku masih berakar umbi
Mana mungkin hilang jati diri
Hanya kerana kata nista mereka yang tak pernah mengerti

Langkah ini tetap aku atur
Walau Sesekali tersungkur
Bangkitku berkali-kali bukan kerana anugerah yang bakal dirangkul

Kerana aku guru
Wacana fikrah bangsa jadi motif unggul
Takkan berganjak walau seinci
Tetap mencanai akal budi
Kerana nadi ini berdenyut kasih keramat
Demi sebuah bangsa yang tamadunnya di angkat.

NUKILAN :
NOR SHAHIZAN RAHIMI BINTI MOHD SAAD
(PUJANGGA MALAM)
SMK PADANG PIOL

Semoga kita semua terus gagah menongkah arus pandemik yang tak sudah-sudah.